KUALA TERENGGANU – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah menganjurkan Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon dari 4 hingga 6 Disember 2025 bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu.
Program ini disertai seramai 17 pasangan suami isteri daripada pelbagai latar belakang dengan tempoh usia perkahwinan antara tiga bulan hingga 30 tahun. Penganjuran program bertujuan meningkatkan kualiti perhubungan, penguasaan ilmu kekeluargaan serta membendung kadar perceraian dalam kalangan peserta.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, pengurusan dan pengendalian program diterajui oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fauzy bin Abd Ghani, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkembangan Awal Kanak-Kanak YPKT, dengan pengisian modul utama seperti Cakna Pasangan, Komunikasi Keintiman Suami Isteri, Candle Light Dinner dan sesi Ikrar Cinta.
Program ini turut menampilkan ceramah serta bimbingan oleh Cik Salsabilla binti Harun, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga dan Komuniti YPKT. Sumbangan kepakaran dari agensi luar disampaikan oleh YBrs. Syahrul Ridzuan bin Mohd Shaima dari LPPKN menerusi ceramah pengurusan kewangan keluarga, manakala sesi ice breaking dikendalikan oleh YBrs. Tuan Haji Nazri bin Yusoff, Timbalan Pengarah Sektor Program YPKT.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YB Hajah Zuraida binti Md Noor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu.
Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon merupakan salah satu usaha YPKT dalam menyokong agenda Kerajaan Negeri Terengganu bagi meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian institusi kekeluargaan.






