KUALA TERENGGANU, 25 November 2025 – Program Bimbingan Undang-Undang Kepada Ibu Tunggal anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berlangsung di Dewan Kompleks Ibu Tunggal Negeri Terengganu dengan penyertaan seramai 40 orang ibu tunggal dari seluruh negeri.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah Program YPKT, Haji Nazri bin Yusoff, yang menegaskan komitmen YPKT dalam memperkasa golongan ibu tunggal melalui inisiatif pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial. Beliau turut menggalakkan peserta mendaftar sebagai ahli Kelab Ibu Tunggal YPKT serta menyarankan agar peluang penyediaan katering program akan datang diberikan kepada ibu tunggal yang mempunyai kemahiran masakan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah YPKT, En. Wan Zulfazlee bin Wan Mustaffa. Turut diadakan ialah pembukaan booth khas oleh Pusat Bantuan Guaman Terengganu bagi memudahkan peserta mendapatkan maklumat berkaitan isu perundangan syariah dan sivil.







