14 Julai 2024, Kuala Terengganu — TASKA Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah menerima rombongan lawatan daripada Kolej Ketengah pada hari ini. Rombongan tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak tentang kerjaya sebenar di TASKA dan mengenali instrumen-instrumen penting yang terdapat di sana.
Seramai 34 orang pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak diiringi oleh Puan Syima binti Abdul Rahman, Ketua Hal Ehwal Akademik, bersama tiga pensyarah iaitu Puan Nurul Asyiqin binti Sudin, Cik Nurl Izzati binti Rosli, dan Cik Soffia Surianisa binti Rosli. Ketua Eksekutif Kolej Ketengah, Tuan Haji Mohd Razali Mahmud, turut hadir bagi memberi sokongan kepada para pelajar.
Rombongan tersebut dipecahkan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 17 pelajar dari setiap kumpulan. Mereka melawat dua cawangan TASKA Permata Keluarga di Kuala Nerus, iaitu TASKA Permata Keluarga Gong Datuk dan TASKA Permata Keluarga Permint Perdana.
Selepas lawatan ke TASKA, rombongan dibawa ke Pejabat YPKT untuk sesi taklimat ringkas dan soal jawab. Dalam sesi ini, terdapat pertukaran cenderahati antara YPKT dan Kolej Ketengah sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan. Pegawai-pegawai YPKT yang hadir termasuk Puan Siti Khatijah binti Sapei, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak, Puan Norhajar Asma binti Awang, Penolong Pengarah Bahagian Perkembangan Awal Kanak-Kanak, dan Tuan Haji Abd Ghafar bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan, Inovasi dan Korporat.
Lawatan ini diharapkan dapat memberikan manfaat besar kepada para pelajar dalam memahami dan mempersiapkan diri mereka untuk kerjaya di bidang pendidikan awal kanak-kanak.