KEMAMAN, 13 Mac 2026 – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga dan Bahagian Sosio Ekonomi telah menganjurkan Program Peningkatan Potensi Diri “Super Syabab” serta Tazkirah Penghayatan Ramadan di Perkarangan Surau Desa Keluarga Kemaman, bertujuan memperkasa sahsiah dan kesejahteraan golongan remaja serta penghuni Desa Keluarga.
Slot Peningkatan Potensi Diri “Super Syabab” telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Program) YPKT, Tuan Haji Nazri bin Yusoff, yang berkongsi ilmu dan motivasi kepada golongan remaja penghuni Desa Keluarga. Program ini menekankan pembangunan diri, disiplin, serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial, selaras dengan usaha YPKT dalam membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berakhlak mulia.
Selain itu, program turut diisi dengan Tazkirah Penghayatan Ramadan oleh Ustaz Azman bin Dosan, yang memberikan pengisian rohani serta panduan penghayatan ibadah puasa bagi memperkukuh amalan dan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja dan penghuni Desa Keluarga.
Dalam program yang sama, sumbangan kebajikan turut disampaikan kepada penghuni Desa Keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, serta individu berpenyakit, sebagai tanda prihatin YPKT terhadap golongan yang memerlukan. Program diakhiri dengan majlis iftar bersama penghuni Desa Keluarga Kemaman, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta semangat kejiranan di kalangan peserta.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi YPKT, Puan Siti Khatijah binti Sapei, yang memberikan sokongan padu terhadap inisiatif pembangunan sahsiah dan kesejahteraan penghuni Desa Keluarga.
Program ini juga telah dilaksanakan di Desa Keluarga Kuala Terengganu dan Desa Keluarga Dungun, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan YPKT untuk memperkasa pembangunan sahsiah, kesejahteraan sosial, dan penghayatan nilai murni dalam kalangan penghuni Desa Keluarga di seluruh negeri Terengganu.
Melalui program seperti ini, YPKT menekankan kepentingan pendidikan rohani, pembangunan potensi diri, dan kebajikan sosial sebagai asas membina generasi yang seimbang, bertanggungjawab, dan berdaya saing di masa hadapan.
#keluargabahagiahidupsejahtera
#keluargabahagiahidupsejahtera








