Kuala Nerus, 10 Februari 2026 – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melaksanakan Kursus Pengurusan Kenderaan Kerajaan bertempat di Bilik Media, Ar Riyadah Residence, sebagai inisiatif berterusan dalam memperkukuh tadbir urus serta pengurusan aset jabatan secara sistematik dan berintegriti.
Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 33 orang pegawai dan kakitangan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan kenderaan jabatan. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran, Puan Mazliza binti Abdul Mubin, sebagai sokongan terhadap usaha peningkatan kompetensi warga kerja YPKT.
Sesi pengisian dikendalikan oleh En. Ahmad Sayuthi bin Mohamad @ Shamsuddin, Penolong Jurutera dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, yang memberikan pendedahan menyeluruh berkaitan peraturan, pekeliling dan dasar semasa pengurusan kenderaan kerajaan.
Fokus utama kursus merangkumi pemahaman terhadap kepentingan pengisian buku log kenderaan secara tepat dan lengkap, pengurusan penyelenggaraan kenderaan secara berkala, pencegahan dan pembaikan, serta prosedur pelaporan dan pengurusan kemalangan kenderaan kerajaan.
Melalui pelaksanaan kursus ini, peserta diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan sedia ada, di samping mengamalkan pengurusan kenderaan yang lebih cekap, selamat dan berhemah, sekali gus membantu mengurangkan risiko kerosakan, kemalangan serta kos penyelenggaraan jangka panjang.







