KEMAMAN, 8 Jun - Mesyuarat Pengurusan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) hari ini meluluskan pengecualian bayaran sewa bulanan kepada semua penghuni Desa Keluarga di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman bagi bulan Jun, Julai dan Ogos.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Beliau berkata, seramai 830 orang Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima manfaat itu dengan anggaran kutipan bulanan berjumlah RM103,000.
"Jika penghuni bersedia membuat bayaran atau telah membuat bayaran bagi bulan ini, ia akan dibawa sebagai bayaran bulan berikutnya atau membayar tunggakan sewaan jika ada," katanya dalam satu kenyatan di facebook rasminya.
Katanya, YPKT juga bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman Program Jaya Diri bagi bulan Jun dan Julai 2021.
Jelasnya, seramai 2,100 orang peserta terlibat dengan anggaran kutipan bulanan berjumlah RM400,000 sebulan.
"Walau bagaimanapun, YPKT sedia menerima bayaran dari peserta yang tidak terjejas jika mereka bersedia membuat bayaran.
"Alhamdulillah, dua perkara yang saya cadangkan diterima dengan baik dan saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pihak YPKT, sebentar tadi. Terima kasih YPKT, sudah tentu perkara ini menggembirakan pihak-pihak yang berkaitan.
"Insya-Allah, semoga ia bermanfaat dalam membantu meringankan bebanan mereka yang terlibat dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau 'Lockdown' yang sedang dilaksanakan di negara kita ketika ini," ujarnya.
Sumber: TRDI.my