KUALA TERENGGANU, 4 September 2024 – Bengkel Undang-Undang Ibu Tunggal Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah berjaya diadakan hari ini di Dewan Kompleks Ibu Tunggal Negeri Terengganu, Chendering, Kuala Terengganu. Program ini disertai oleh 80 orang ibu tunggal dari setiap daerah di Terengganu, bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai hak-hak undang-undang yang melibatkan wanita, terutamanya ibu tunggal.
Pengisian bengkel ini merangkumi topik-topik penting seperti Tuntutan Nafkah Eddah, Nafkah Anak, Mutaah, Harta Sepencarian dan Pusaka. Sesi ini telah dikendalikan oleh Encik Wan Mahyuddin bin Wan Muhammad, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri (Syariah), yang berkongsi ilmu serta panduan berhubung isu-isu tersebut.
Selain itu, bengkel turut menampilkan ceramah bertajuk "Hak dan Perlindungan Terhadap Wanita Daripada Perspektif Undang-Undang" yang disampaikan oleh Puan Yuhanis binti Mohd Roslan, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. Ceramah ini memberi fokus kepada aspek perlindungan undang-undang yang boleh dimanfaatkan oleh golongan wanita, khususnya ibu tunggal, dalam mempertahankan hak mereka.
Majlis penutup bengkel ini telah dirasmikan oleh YB Zuraida Md Noor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Haji Nazri bin Yusoff, Timbalan Pengarah (Program) YPKT, Wan Zulfazlee bin Wan Mustaffa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti YPKT, serta pegawai-pegawai YPKT yang lain.
Bengkel ini diharap dapat membantu para peserta memahami dan menggunakan undang-undang sebagai alat untuk memperjuangkan hak-hak mereka, sekaligus meningkatkan kualiti hidup mereka dan anak-anak.