KUALA TERENGGANU, 15 Ogos 2026 - TASKA Permata Keluarga UniSZA Tembila, Besut muncul Johan Pertandingan Persembahan Bercerita Kanak-Kanak Peringkat Negeri bagi tahun 2026.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Kompleks Ibu Tunggal YPKT itu menghimpunkan lapan TASKA Permata Keluarga dari lapan kawasan Parlimen dengan mengetengahkan tema Cerita Rakyat dan Cerita Dongeng yang sarat dengan nilai murni, pengajaran dan teladan.
Pertandingan turut menerapkan elemen STEAM merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik secara kreatif, inovatif serta interaktif bagi mengembangkan bakat, kreativiti, keyakinan diri dan kemahiran komunikasi kanak-kanak.
TASKA Permata Keluarga Kuala Terengganu meraih Naib Johan, manakala TASKA Permata Keluarga Peradong menduduki tempat Ketiga.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Pengarah YPKT, YBrs. En. Ahmad Faris bin Abdul Razak. Turut hadir, Timbalan Pengarah (Program) YPKT, Tuan Haji Nazri bin Yusoff; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kanak-Kanak YPKT, Tuan Haji Mohd Fauzy bin Abd Ghani serta pegawai-pegawai YPKT.







