Seramai 586 pegawai daripada sektor awam, syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan sektor swasta, telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Majlis anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Haji Nazri bin Yusoff salah seorang pegawai yang ditauliahkan daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) setelah berjaya menamatkan kursus selama bermodular selama 4 minggu pada 2023 anjuran Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Modul berkenaan meliputi Pengurusan Integriti dan Perundangan; Pengurusan Aduan, Pengesanan dan Pengesahan serta Tatatertib; Pematuhan, Pengukuhan Integriti dan Tadbir Urus; dan Pembentukan Pelan Integriti serta Pengurusan Risiko Rasuah. 
Program CeIO diperkenalkan pada 2010 susulan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009, bagi memperkasakan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam, SBK serta swasta dan sehingga kini seramai 2,851 pegawai telah dilatih.
Pegawai Integriti Bertauliah antara lain berperanan merancang, melaksana serta memantau keberkesanan program integriti, selain menjadi pemangkin kepada pembudayaan kerja berintegriti serta pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam khususnya dalam agensi masing-masing.