Kemaman, 17 Februari 2025 - Majlis perasmian TASKA Permata Keluarga Geliga Saujana telah diadakan di Taman Geliga Saujana, Kemaman. TASKA ini merupakan yang pertama ditubuhkan oleh pihak swasta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) hasil sumbangan General Height Sdn. Bhd. dan merupakan pusat asuhan ke-72 di negeri Terengganu.
TASKA ini ditubuhkan bagi membantu ibu bapa yang bekerja dengan menyediakan pusat asuhan yang selamat dan berkualiti. Kemudahan yang disediakan termasuk bilik asuhan yang selesa, tenaga pengasuh bertauliah, serta program pendidikan awal kanak-kanak yang sistematik. Dengan adanya pusat ini, diharapkan perkembangan kanak-kanak dapat diperkasa dalam persekitaran yang kondusif.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Ustaz Maliaman bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, YBrs. En. Ahmad Faris bin Abdul Razak; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan, Haji Mohd Ashri bin Mohd Zain; Timbalan Pengarah Sektor Program, Haji Nazri bin Yusoff; serta YBhg. Puan Hajah Zahiyah binti Rahman, isteri YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Chukai, selaku Ibu Angkat TASKA Geliga Saujana.