Kemaman, 26 Jun 2024 – Program Orientasi & Jatidiri Perantis Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berlangsung selama tiga hari dua malam di Kompleks Rakan Muda, Kemaman. Program yang diadakan dari 24 hingga 26 Jun 2024 ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Komuniti YPKT dengan kerjasama HK Outdoor Event dan melibatkan penyertaan seramai 95 orang perantis SLDN YPKT.
Program ini bertujuan melahirkan pelatih jahitan yang bertanggungjawab, bersyukur, dan amanah dalam menjalankan tugas harian. Pembentukan nilai-nilai murni ini penting bagi memastikan pelatih dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan integriti dalam bidang jahitan.
Selain itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan nilai sosial antara pelatih. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program diharapkan dapat membina semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pelatih, yang mana elemen-elemen ini amat penting dalam kehidupan sosial dan profesional mereka kelak.
Tambahan pula, pemupukan nilai-nilai positif seperti ketahanan diri, disiplin, dan kecekalan menjadi fokus utama program ini. Ini adalah sebagai persediaan penting bagi pelatih dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup, baik dalam dunia pekerjaan mahupun dalam kehidupan peribadi.
Majlis penutup program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, En. Ahmad Faris bin Abdul Razak. Dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya program sebegini dalam membentuk perantis yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang latihan jahitan mereka, tetapi juga individu yang berakhlak mulia dan bersedia menghadapi segala cabaran yang mendatang.
Dengan berakhirnya program ini, diharapkan semua perantis dapat membawa pulang nilai-nilai dan pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang program berlangsung untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.